11 Ogos 2008

KUALA KUBU BHARU


Inilah Pekan Kecil Kuala Kubu Bharu (KKB) yang agak asing bagi sesetengah pihak, namun ia merupakan pekan yang sungguh mendamaikan. Terletak 60 km ke utara Kuala Lumpur. KKB mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan dibina pada sekitar 1928 dan siap pembinaannya pada 1930. Nama asalnya ialah Kuala Kubu sahaja dan pekan asal terletak lebih kurang 10 km dari pekan yang ada sekarang ini. Pembinaan pekan baru dengan nama Kuala Kubu Bharu disebabkan pekan asal telah musnah akibat banjir besar yang berlaku apabila sebuah empangan telah pecah akibat dari kerakusan manusia yang melangar pantang larang masyarakat tempatan. Kisah berlaku apabila seekor buaya putih lagenda masyarakat yang menghuni empangan tersebut telah ditembak mati oleh pemerintah kolonial pada ketika itu.
Kebanyakan masyarakat disini terdiri daripada kakitangan kerajaan memandangkan KKB merupakan Pusat Pentadbiran bagi Daerah Hulu Selangor. Selain itu masyarakat tempatan pula menjalankan aktiviti pertanian, perniagaan dan pelbagai aktiviti harian yang lain jauh dari hiruk pikuk kota-kota besar.
Suasana yang mendamaikan ini sentiasa mengamit hati pengunjung yang singgah di pekan ini terutamanya yang dalam perjalanan ke Bkt. Frasier. Suasana pekan yang bersih dengan bangunan lama begitu tersusun rapi. Ini menunjukkan pembinaannya dirancang teliti oleh pihak British sewaktu memerintah di sini.
Anda berasa masa berlalu agak perlahan apabila tinggal di pekan ini, masyarakatnya menjalankan aktiviti tanpa perlu tergesa-gesa memandangkan tiada kesesakan lalulintas dan boleh bergerak dari satu tempat-ke satu tempat lain dengan mudah. Pekan ini akan dibanjiri penduduk apabila ada pasar malam yang hanya 2 kali dalam sebulan iaitu pada 9 dan 29 haribulan pada setiap bulan.


Bagaimanapun harga barangan basah yang dijual di pasar awam dan pasar tani terutama ikan agak mahal sedikit. Mungkin disebabkan lokasi KKB yang agak juh dari pantai. Bagaimanapun masyarakat disini mempunyai pilihan untuk membeli keperluan harian di luar KKB Seperti di Tg. Malim, Btg. Kali dan Rawang.

Pastinya singgah di KKB tidaklah merugikan. Kenangan indah disini akan kekal dalam ingatan. Udara segar dengan ketenangan pekannya pasti mengamit anda untuk kembali.

20 Februari 2008

JOM SINGGAH DI MUAR

Muar atau juga dikenali dengan nama Bandar Maharani adalah salah satu bandar terbesar di Negeri Johor Darul Takzim. Merupakan daerah yang terletak di utara negeri Johor bersempadan dengan Negeri Melaka. Bandar Muar wujud sejak zaman pemerintahan Melayu Melaka lagi, terletak di tebing Sg. Muar yang mejadi identiti utamanya. Biasanya pada hujung minggu atau di sebelah petang ramai orang berkunjung ke tebing Sg. Muar untuk bersantai atau pun menjamu selera. Jom la kita singgah kat Bandar Muar ni, macam-macam benda best ada kat sini.



Ini adalah bangunan Sultan Abu Bakar yang dibina pada tahun 1921. Bangunan ini digunakan sebagai Pejabat Daerah Muar. Bangunan ini masih terpelihara dengan baik dan menjadi salah satu mercu tanda bandar ini.


Dari tebing Sg. Muar kita boleh lihat pemandangan Bandar Muar yang kian pesat membangun. Moga satu hari nanti bandar ini akan menjadi salah satu bandar perairan yang terkenal di seluruh dunia. Pihak berwajib terutamanya Majlis Perbandaran Muar perlu merancang pembangunan bandar ini dengan teratur agar keaslian alam semulajadinya tetap terpelihara.





Kita juga boleh melihat sebuah masjid tersergam indah di tebing sebelah sana yang juga salah satu mercu tanda bandar ini. Masa ni air sungai agak kotor kerana musim hujan dan ada beberapa tempat di daerah ini yang dilanda banjir.


Kalau ada kesempatan kita juga boleh menyusuri Sg. Muar dengan menaiki bot yang disediakan untuk melihat panorama bandar ini dari atas air.


Keretapi pada suatu masa dahulu pernah menjadi salah satu pengangkutan utama di Muar. Bukti peninggalan itu dapat dilihat di hadapan R&R berhampiran dataran Muar. Lupa la nak catitkan sejarah keretapi ni. Lain kali saya akan update kan untuk pengetahuan semua.



Jangan lupa singgah di bandar ini, makanan yang pasti tak dapat dilupakan ialah Mi Bandung muar dan Asam Pedas. Kita cerita lagi tentang Muar di lain kali, bye..

31 Januari 2008

MANUSIA PERAK (PERAK MAN)


Salah satu buku yang mencatitkan sejarah penemuan rangka Perak Man..

Manusia Perak (Perak Man) adalah rangka manusia yang tertua pernah dijumpai di Malaysia. Perak Man dijumpai di dalam Gua Gunung Runtuh di Bukit Kepala Gajah, Lenggong, Perak, Malaysia. Ia dijumpai pada tahun 1991 hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Malaysian Archaeological Research Centre, Universiti Sains Malaysia dengan Kerjasama Jabatan Muzium Malaysia. Hasil dari kajian dan penyelidikan yang dijalankan mendapati Perak Man adalah rangka manusia yang telah berusia diantara 10 000 hingga 11 000 tahun.


Kedudukan rangka Perak Man semasa penemuannya..


Rangka Perak Man telah pun dipindahkan dari Gua Gunung Runtuh ke Muzium Arkeologi Lenggong dan diletakkan dalam kedudukan asalnya sebagaimana ia ditemui.


Replika rangka Perak Man..

Perak Man adalah lelaki yang tergolong dalam kelompok manusia Australomelanesoid. Menjalani kehidupan bersama beberapa kelompok manusia prasejarah lebih kurang 10 000 tahun yang lalu dengan menjadikan gua sebagai tempat berteduh. Aktiviti utama Perak Man ialah memburu, memungut bahan-bahan yang boleh diperolehi daripada hutan dan sungai untuk menjalani kehidupannya.


Ilustrasi kehidupan manusia zaman pra sejarah..
Perak Man telah meninggal dunia sewaktu berumur antara 40-45 tahun. Ia telah dikebumikan dengan upacara atau adat tradisi kaumnya dengan posisi foetal, iaitu kedua kakinya berlipat ke arah dada. Ia juga dikebumikan bersama dengan beberapa peralatan yang diperbuat daripada batu dan beribu-ribu siput sungai. Ketinggiannya dianggarkan dalam 154cm-160cm. Perak Man adalah rangka tulang manusia hampir penuh yang ditemui di Asia Tenggara dan merupakan tulang prasejarah yang mempunyai kecacatan genetik yang dikenali sebagai Brchymesophalangia.

Ilustrasi bagaimana Perak Man dikebumikan selepas kematiannya..

Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut sejarah penemuan rangka manusia prasejarah ini bolehlah berkunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong yang terletak di Daerah Lenggong, Perak, Malaysia.


My Kad Perak Man.. Salah satu bahan pameran di Muzium Arekologi Lenggong..


Rangka Perak Man yang disemadikan di Muzium Arkeologi Lenggong untuk tatapan umun..


Pintu Masuk ke Muzium Arkeologi Lenggong..


Pintu Masuk Utama Pejabat Pentadbiran Muzium Arkeologi Lenggong..