11 Ogos 2008

KUALA KUBU BHARU


Inilah Pekan Kecil Kuala Kubu Bharu (KKB) yang agak asing bagi sesetengah pihak, namun ia merupakan pekan yang sungguh mendamaikan. Terletak 60 km ke utara Kuala Lumpur. KKB mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan dibina pada sekitar 1928 dan siap pembinaannya pada 1930. Nama asalnya ialah Kuala Kubu sahaja dan pekan asal terletak lebih kurang 10 km dari pekan yang ada sekarang ini. Pembinaan pekan baru dengan nama Kuala Kubu Bharu disebabkan pekan asal telah musnah akibat banjir besar yang berlaku apabila sebuah empangan telah pecah akibat dari kerakusan manusia yang melangar pantang larang masyarakat tempatan. Kisah berlaku apabila seekor buaya putih lagenda masyarakat yang menghuni empangan tersebut telah ditembak mati oleh pemerintah kolonial pada ketika itu.
Kebanyakan masyarakat disini terdiri daripada kakitangan kerajaan memandangkan KKB merupakan Pusat Pentadbiran bagi Daerah Hulu Selangor. Selain itu masyarakat tempatan pula menjalankan aktiviti pertanian, perniagaan dan pelbagai aktiviti harian yang lain jauh dari hiruk pikuk kota-kota besar.
Suasana yang mendamaikan ini sentiasa mengamit hati pengunjung yang singgah di pekan ini terutamanya yang dalam perjalanan ke Bkt. Frasier. Suasana pekan yang bersih dengan bangunan lama begitu tersusun rapi. Ini menunjukkan pembinaannya dirancang teliti oleh pihak British sewaktu memerintah di sini.
Anda berasa masa berlalu agak perlahan apabila tinggal di pekan ini, masyarakatnya menjalankan aktiviti tanpa perlu tergesa-gesa memandangkan tiada kesesakan lalulintas dan boleh bergerak dari satu tempat-ke satu tempat lain dengan mudah. Pekan ini akan dibanjiri penduduk apabila ada pasar malam yang hanya 2 kali dalam sebulan iaitu pada 9 dan 29 haribulan pada setiap bulan.


Bagaimanapun harga barangan basah yang dijual di pasar awam dan pasar tani terutama ikan agak mahal sedikit. Mungkin disebabkan lokasi KKB yang agak juh dari pantai. Bagaimanapun masyarakat disini mempunyai pilihan untuk membeli keperluan harian di luar KKB Seperti di Tg. Malim, Btg. Kali dan Rawang.

Pastinya singgah di KKB tidaklah merugikan. Kenangan indah disini akan kekal dalam ingatan. Udara segar dengan ketenangan pekannya pasti mengamit anda untuk kembali.